Monday, January 19, 2009

hak sosial

Konflik sosial dan pelanggaran terhadap hak asasi manusia terjadi ketika hak, kewajipan dan tanggungjawab asasi manusia berjalan secara tidak seimbang.


HAK asasi manusia bukanlah suatu konsep yang mudah diterjemahkan.


SUDAH banyak telah diperkatakan mengenai persoalan hak asasi manusia dan keadilan sosial di seminar, forum dan wacana di peringkat nasional mahupun antarabangsa. Persoalan ini, menarik dan boleh dilihat dari pelbagai dimensi sama ada sudut agama, politik, sosiologi, sejarah dan tidak kurang juga dilihat mengikut kepentingan dan tafsiran golongan berkepentingan. Namun, apa pun yang diperkatakan tentang persoalan hak asasi manusia dan keadilan sosial, ia tetap menjadi tuntutan mutlak manusia dan kemanusiaannya yang mencakupi bidang ekonomi, perundangan, politik, pentadbiran, hubungan etnik, hubungan sesama dan di dalam keluarga, hubungan gender, hubungan sosial dan sebagainya. Hak asasi manusia dan keadilan sosial juga sering dikaitkan dengan persoalan hak dan tanggungjawab seseorang dan kumpulan atau pihak, dan sama ada sesuatu ganjaran, kedudukan, hukuman dan pengiktirafan itu sesuai dan wajar pada tempatnya.

Sejak zaman-berzaman, hak asasi manusia dan keadilan sosial dianggap penting. Barangkali tanpanya, kestabilan masyarakat sukar dijamin dan akhirnya boleh mengakibatkan permusuhan, konflik, kacau bilau, malah pemberontakan dan anarki. Keadaan itu tidak memungkinkan sesuatu masyarakat atau tamadun terus berkembang. Segala yang diusahakan sekian lama dengan begitu banyak keperitan dan pengorbanan akan menjadi sia-sia. Bagaimanapun, hak asasi manusia bukanlah suatu konsep yang mudah diterjemahkan. Sejarah manusia membuktikan hakikat itu. Dalam banyak hal, kepentingan-kepentingan diri dan kumpulan terlalu kuat dan sentiasa cuba mengatasi kepentingan ramai. Dengan kata lain, hak asasi manusia dan keadilan sosial merupakan slogan yang senang diucapkan tetapi sukar diamalkan. Barangkali inilah yang menyebabkan penulisan sama ada berbentuk buku atau jurnal/majalah sering membincangkan persoalan itu. Antaranya ialah sebuah buku menarik bertajuk Human Rights and the New World Order yang ditulis oleh pemikir tempatan tersohor, Dr. Chandra Muzaffar. Buku itu jelas menunjukkan bahawa Tata Dunia Baru tidak akan melindungi hak asasi manusia majoriti penduduk dunia sebagaimana yang sering dilaungkan. Ini kerana struktur kekuasaan Tata Dunia Baru sangat tidak seimbang dan menindas. Menurut Chandra, tragedi di Algeria, Somalia, Kosovo, Bosnia-Herzegovina dan terbaru di Palestin memperlihatkan dengan jelas bagaimana kelompok minoriti di Barat mengendalikan dan mendominasi politik global dengan tujuan utamanya untuk melayani kepentingan pihak berkuasa. Justeru, Tata Dunia Baru akan terus menyangkal dan mencabut kemanusiaan dari hak-haknya.




Chandra seterusnya membahaskan bagaimana kekuasaan Barat mengecilkan makna hak asasi manusia dengan maksud untuk melestarikan dominasi mereka. Hak asasi manusia sinonim dengan hak-hak sivil dan politik dalam negara kebangsaan. Hak-hak budaya diberi perhatian yang cukup, tetapi hak-hak ekonomi dan sosial tidak dianggap sebagai hak-hak asasi manusia di negara-negara tertentu di Barat. Pendekatan 'sektarian' terhadap hak asasi manusia itu jelas mengagungkan pandangan Barat tentang hak asasi manusia dengan penekanannya pada kebebasan dan kemerdekaan individu. Begitu jugalah peranan yang dimainkan oleh lembaga-lembaga ekonomi dunia seperti Bank Dunia, Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Persetujuan Umum Tarif dan Perdagangan (GATT) yang membantu mengekalkan dominasi Barat ke atas hak-hak ekonomi. Bagi Chandra, amat penting dunia sekarang menawarkan pendekatan yang lebih holistik tentang hak asasi manusia dengan memberikan perhatian kepada pelbagai aspek seperti hak ekonomi, sosial, budaya, di samping hak-hak sivil dan politik. Dengan itu, Pertubuhan Bangan-bangsa Bersatu (PBB) perlu direformasi kerana hanya sebuah PBB yang telah direformasi mampu mewujudkan hak asasi manusia di mana-mana pun bahagian dunia.

Selain itu, buku Keadilan Sosial pula merupakan himpunan esei para sarjana tempatan. Buku itu cuba membahaskan beberapa isu dan implikasi penting berhubung konsep keadilan dalam konteks perubahan pesat yang dilalui masyarakat dan negara sekarang. Dalam hal ini, mereka bersetuju bahawa Dasar Ekonomi Baru (DEB) tidak mungkin digubal tanpa kesedaran yang kuat terhadap keadilan sosial. Meskipun DEB mempunyai keterbatasannya, namun ia telah meletakkan beberapa asas keadilan yang kuat seperti pembasmian kemiskinan, agihan kekayaan dan merapatkan jurang ekonomi antara kumpulan etnik. Buku ini juga menegaskan bahawa keadilan sosial mempunyai tiga komponen yang kritikal, iaitu kesebarangan yang minimum terutama penggunaan kuasa secara sewenang-wenangnya; pengagihan yang sama dari segi cara untuk mendapat kesejahteraan dan mempunyai prosedur-prosedur yang cukup untuk membetulkan kesalahan. Dari pembahagian di atas, bolehlah ditegaskan bahawa keadilan sosial berhadapan dengan tiga musuh utama yang mana bakal menimbulkan ketidakadilan. Musuh-musuh itu ialah penggunaan kuasa sewenang-wenangnya, pengagihan sumber yang tidak adil dalam masyarakat baik oleh mereka yang berkuasa ataupun dalam kalangan rakyat sendiri dan tiada kaedah yang cukup untuk membetulkan tindakan yang salah atau tidak terdapat peraturan yang mencukupi untuk memberi pampasan kepada mereka yang teraniaya, kehilangan atau kecederaan.


TRAGEDI di Palestin memperlihatkan dengan jelas bagaimana kelompok minoriti di Barat mengendalikan dan mendominasi politik global. - Gambar hiasan


Buku ini keseluruhannya mengingatkan kita tentang betapa pentingnya keadilan sosial dalam kehidupan bermasyarakat. Ia dapat mencetuskan sedikit sebanyak keinsafan dan pemikiran kritikal pihak-pihak yang terlibat dalam perancangan, pelaksanaan dan penilaian dasar-dasar serta program-program pembangunan negara agar memberikan khidmat dan memikul tanggungjawab masing-masing dengan jujur demi kebaikan bersama. Ia juga harus mendorong kita agar lebih prihatin terhadap masalah-masalah sosial yang dihadapi masyarakat khususnya golongan bawahan di kampung, estet dan pinggir-pinggir kota negara kita. Dengan kata lain, keadilan sosial tentu lebih bermakna dan relevan jika ia sentiasa dapat dikaitkan dengan isu-isu dan masalah-masalah berhubung perumahan rakyat, kesihatan awam, sistem pengangkutan, pemuliharaan alam sekitar, kedudukan kaum wanita, hak dan kepentingan pengguna, hak-hak demokratik semua lapisan masyarakat, peluang-peluang pendidikan dan hak-hak golongan minoriti dan lemah yang lain.

Dalam hal ini, pelaksanaan hak asasi manusia dalam bidang agama pada intinya adalah bagaimana mewujudkan suatu kerukunan umat beragama sehingga dapat tercipta suasana saling menghormati, menghargai, mempercayai serta saling bekerjasama antara umat beragama yang berbeza. Konflik sosial dan pelanggaran terhadap hak asasi manusia terjadi ketika hak, kewajipan dan tanggungjawab asasi manusia berjalan secara tidak seimbang. Semua agama sejak kehadirannya telah memberi panduan kehidupan kepada para pemeluknya untuk kerukunan hidup bersama dengan aman bersama pemeluk agama yang lain. Namun persoalannya ialah bagaimana konsepsi-konsepsi ajaran agama tersebut dapat menjiwai para pemeluknya dalam perilaku kehidupan seharian khususnya dalam pergaulan kemasyarakatan sehingga konsep hak asasi manusia dalam ajaran agama mampu mendorong para pemeluknya melaksanakannya tanpa sebarang berat sebelah dan prasangka.

No comments: